Friday, 24 July 2026

Helaian Lama

main bola kita kena sabar. sabar sikit je. jangan sabar banyak sangat. kalau banyak sangat kalah lah kita.
Ini kisah aku dan idolaku. Seorang legenda.

Tak dapat aku mengungkapkan sepatah perkataan saat aku bertemu dengannya. Walau aku telah mendesak organiser untuk mencuri peluang bergambar di saat  event belum pun bermula, aku sangat bersyukur. 10 saat atau mungkin tidak sampai pun, ia sangat menghantui diriku beberapa hari ini. Bayangkan kawan, aku minat beliau saat aku dibangku sekolah. Dan sekarang aku akan menganjak 30-an. Kiralah berapa lama aku baru dapat peluang untuk bertemu dengannya di waktu dan tempat yang tak disangka-sangka.

Namun bukan itu yang menghenyak perasaanku kala ini. Aku mula dipaut kenangan dulu. Aku bukan mengenang kerana aku tidak berdamai dengan masa lalu, tapi aku telah jumpa semangat aku yang hilang dan ia sudah kembali pulang.

Pertemuan itu membuka semula helaian lama dimana aku berdarah muda, ganas, dan tidak terkawal. Yang penting aku emo. Kesedaran ini menyentakkan aku dikala aku dihampakan oleh seseorang. Aku begitu kecewa.

aku ringkaskan saja,

"Terima kasih, Amri Yahyah.

Mungkin abang tidak pernah kenal saya. Mungkin bagi abang saya hanya peminat seperti ribuan peminat abang yang lain. Bahkan sekeping gambar itu hanya sekadar gambar yang akan hilang juga. Tetapi bagi saya, pertemuan dengan abang membawa saya kembali pada zaman remaja saya.

Saya membesar dengan melihat abang bermain. Saya sangat mengagumi semangat, disiplin, skill abang di atas padang. Tanpa saya sedar, abang menjadi antara pemangkin yang mewarnai kehidupan saya dahulu kala. Disebabkan itu, lahirlah semangat kesukanan dan nasionalisme dalam diri saya.

Bertahun-tahun berlalu, hidup membawa saya ke langit Johor. Namun kenangan zaman prime abang tak pernah lekang dalam ingatan saya. Apabila akhirnya saya berpeluang untuk bergambar dengan abang, walaupun hanya seketika, saya rasa seperti impian kecil zaman kanak-kanak saya akhirnya menjadi kenyataan. Alhamdulillah.

Terima kasih kerana pernah menjadi inspirasi kepada seorang remaja yang pernah berdiri di hadapan televisyen, bersorak untuk Selangor dan Malaysia juga mengangumi permainan abang. Atas dasar faktor umur dan keselamatan, saya tidak pernah jejak kaki ke stadium hatta sekali.

Mungkin ini hanya sekadar coretan luahan namun bagi saya abang telah mengembalikan semangat saya yang hilang sudah kembali pulang. Nama abang pernah tertulis dalam buku karangan sekolah saya suatu ketika dahulu.

Semoga abang sentiasa diberikan kesihatan, kebahagiaan dan rezeki yang melimpah ruah. Terima kasih untuk segala kenangan,"

Pertemuan ini juga membuatkan aku rasa lebih menghargai diri sendiri. Tidak lagi aku berharap dan menanti pada sesuatu yang tidak pasti. Akan aku lepaskan segala cerita cinta aku yang tidak berbalas itu pergi dengan rela hati. Ingatku suatu ketika dulu aku pernah hilang seseorang yang sangat berharga dalam hidupku, dan aku jalani kehidupan sendiri tanpa ihsan dan pautan tangan dari sekeliling. 

Aku pernah cekal suatu ketika dahulu. Aku pernah merasa sendiri. Apalah sangat dewasa ini jika setiap malam bantalku dibasahi air mata. Bukan rayuan simpati yang aku minta. Kadang aku cuma perlukan sokongan dan dorongan. Akhirnya? Akhirnya aku temui semangat seperti sewaktu aku belasan tahun. Cmon mashitah. 

Tiada bahu untuk bersandar bukan bermakna tiada sejadah untuk aku bersujud.


No comments:

Post a Comment